(Pakar Lelongan Online)
Ramai orang yang menceburi
dunia perniagaan internet memasang angan-angan untuk mencapai kejayaan yang hebat di dalam model perniagaan internet yang mereka ceburi. Dengan bilangan
usahawan internet berjaya yang
semakin bertambah di Malaysia, ia telah mencetuskan revolusi untuk
semakin ramai rakyat Malaysia lain mengikuti jejak langkah
usahawan-usahawan internet yang telah berjaya ini.
Malangnya, di sebalik sinar kejayaan yang dipancarkan oleh usahawan-usahawan internet yang telah berjaya itu,
tidak ramai yang ingin berkongsi kesilapan-kesilapan yang mungkin telah mereka lakukan untuk tatapan dan pengajaran orang lain yang baru ingin bermula.
Oleh itu, di dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan anda
Senarai Top 10 Kesilapan Usahawan Internet.
Ianya adalah berdasarkan pengamatan saya terhadap usahawan-usahawan
internet yang lain dan juga berdasarkan pengalaman saya sendiri selama 8
tahun berkecimpung di dalam dunia perniagaan internet. Senarai ini
telah saya tulis berdasarkan
sistem Countdown iaitu senarai akan
dimulakan dari tempat ke-10 sehingga tempat pertama. Semoga ia menjadi panduan yang berguna untuk anda.
Mari kita mulakan…
#10 – Pengunjung Laman Web:
Menyangka bahawa pengunjung ke laman web anda akan tiba-tiba muncul
setelah anda menyiapkan laman web anda. Ramai usahawan internet baru
melakukan kesilapan ini. Anda harus faham bahawa laman web anda cuma
akan dapat menerima pengunjung sekiranya anda telah melakukan promosi
untuknya. Tanpa sebarang promosi, maka sudah pasti tidak akan ada orang
yang menjumpai dan mengunjungi laman web anda.
#9 – Mudah Berputus Asa:
Salah satu lagi masalah besar untuk usahawan internet
lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru adalah mereka mudah berputus
asa. Ramai daripada golongan ini yang mahukan kejayaan dan keuntungan
dengan pantas. Mereka ingin mendapatkan wang yang banyak dengan hanya
menceburi dunia perniagaan internet selama beberapa bulan saja. Walaupun
kejayaan boleh diperolehi dengan singkat di dalam dunia perniagaan
internet, tetapi tidak semua orang akan memperolehi tempoh kejayaan yang
sama. Ada yang lebih pantas dan ada yang lebih lama. Apa yang penting,
anda perlu meneruskan usaha anda dan tidak berputus asa. Secara amnya,
tempoh untuk mencapai keuntungan yang baik di dalam perniagaan internet
adalah dalam masa lebih kurang 6 bulan ke setahun. Malah ada yang lebih
daripada itu. Dengan itu, jangan mudah berputus asa, kejayaan pasti
menanti anda!
#8 – Melakukan Perniagaan Seperti Hobi:
Anda tidak perlu mempunyai syarikat sendiri untuk menguruskan
perniagaan internet anda seperti sebuah syarikat. Walaupun anda baru
bermula, anda sudah boleh menguruskan perniagaan anda seperti sebuah
syarikat. Anda boleh mengawal kewangan anda iaitu dari segi wang keluar
dan wang masuk serta sebarang urusan lain dengan cara professional.
Kesilapan ramai usahawan baru adalah dengan menguruskan perniagaan
mereka dengan sambil lewa dan tidak serius. Akibatnya, kejayaan yang
mereka perolehi adalah kecil dan keuntungan yang mereka perolehi juga
adalah kecil. Jika anda mahukan kejayaan, anda perlu serius dalam
menguruskan perniagaan anda dan bukan melayannya seperti sebuah hobi
sahaja.
#7 – Pengurusan Masa Buruk:
Menguruskan masa dengan bijak adalah penting buat seseorang usahawan
internet, lebih-lebih lagi kepada mereka yang menjalankan perniagaan
internet dengan sepenuh masa atau full-time. Jika anda tidak bekerja
maka tiadalah keuntungan yang boleh anda perolehi. Oleh itu, pengurusan
masa yang baik adalah penting untuk kejayaan perniagaan anda. Elakkan
daripada sikap suka bertangguh-tangguh di dalam melakukan urusan
perniagaan anda. Jika anda suka bertangguh maka besar kemungkinan
keuntungan yang anda perolehi di dalam perniagaan anda juga tidak
seberapa.
#6 – Bekerja Sendiri:
Pada awal penglibatan anda di dalam dunia perniagaan internet, saya
yakin anda akan lebih banyak melakukan aktiviti untuk perniagaan anda
secara bersendirian. Andalah menjadi bos dan anda jugalah yang menjadi
kuli untuk perniagaan anda. Keadaan ini adalah perkara yang biasa
dilalui oleh hampir kesemua usahawan internet yang baru. Apa yang perlu
anda pelajari adalah untuk memulakan
outsourcing atau
memberikan kerja-kerja anda kepada orang lain supaya anda mempunyai
lebih banyak masa untuk melakukan perkara-perkara yang lebih penting
untuk perniagaan anda. Ia akan menjimatkan masa dan tenaga anda. Di
antara perkara-perkara yang boleh anda
outsource adalah rekaan
grafik laman web, penulisan artikel, kajian produk, penghasilan produk
digital dan sebagainya. Jika anda mahu mencapai kejayaan yang lebih
hebat, anda perlu bijak mengagih-agihkan kerja anda kepada orang lain
dan hanya melakukan aktiviti-aktiviti yang kritikal menurut kepakaran
anda.
#5 – Berhenti Belajar:
Saya pernah menyentuh mengenai kesilapan ini tidak lama dahulu. Kita
sebagai seorang usahawan internet perlu sentiasa belajar mengenai
perkara-perkara baru yang boleh membantu di dalam perkembangan diri dan
perniagaan kita. Dunia perniagaan internet sentiasa bergerak dengan
pantas. Satu strategi promosi yang berkesan pada tahun lepas mungkin
tidak lagi relevan pada tahun ini. Oleh itu, kita perlu sentiasa
berusaha untuk mempelajari perkara-perkara baru di dalam bidang yang
kita ceburi. Ini akan memudahkan kita untuk mengambil peluang yang
mungkin belum lagi dapat dilihat oleh orang lain.
#4 – Tiada Networking:
Perniagaan internet membolehkan anda untuk menguruskan perniagaan anda
hanya daripada rumah tanpa perlu berjumpa dengan sesiapa. Ini
menyebabkan ramai usahawan internet yang baru mahupun yang lama tidak
berminat untuk melakukan networking atau menjalinkan hubungan
dengan usahawan internet lain yang sama-sama berada di dalam bidang
mereka. Ini menyebabkan mereka kerugian dari segi pengetahuan dan
sokongan daripada rakan usahawan internet yang lain. Jika kita aktif di
dalam menjalinkan hubungan dengan usahawan internet lain maka ia akan
memudahkan kita apabila kita memerlukan pendapat, nasihat dan bantuan
daripada mereka pada masa hadapan. Dengan berbekalkan bantuan daripada
rakan-rakan usahawan internet yang lain, maka ia akan lebih memudahkan
kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
#3 – Tiada Pelan Perniagaan:
Hampir kesemua usahawan internet tersohor yang saya kenali mempunyai
pelan perniagaan atau pelan tindakan untuk satu jangkamasa yang telah
mereka tetapkan. Di dalam pelan ini mereka telah menggariskan
perkara-perkara yang penting untuk perkembangan perniagaan mereka
seperti masa pelancaran produk terkini, masa untuk melakukan kajian,
masa untuk menganjurkan seminar dan sebagainya. Ada yang mempunyai pelan
perniagaan untuk jangkamasa 5 Tahun yang akan datang! Semakin jelas
pelan perniagaan yang anda hasilkan maka akan lebih jelaslah halatuju
perniagaan anda kepada diri anda. Ini akan membolehkan anda menetapkan
haluan anda untuk mencapai kejayaan di dalam masa yang telah anda
tetapkan.
#2 – Tidak Membina Senarai Subscriber:
Kesilapan ini sering dilakukan oleh semua usahawan untuk hampir kesemua
model perniagaan internet yang ada di dunia. Ramai yang masih takut atau
tidak mahu memulakan senarai subscriber mereka sendiri. Lebih-lebih
lagi kepada mereka yang menjual di portal Lelong dan eBay. Mereka
berpendapat bahawa mereka boleh berjaya tanpa menyimpan senarai
subscriber. Sebenarnya jika mereka boleh memulakan senarai subscriber
mereka sendiri, maka kejayaan akan boleh dicapai dengan lebih mudah
berbanding tanpa sebarang senarai sendiri.
#1 – Tiada Mentor:
Perniagaan internet sama seperti bentuk-bentuk perniagaan lain yang
memerlukan anda untuk mengikuti satu proses atau langkah untuk mencapai
kejayaan. Cara paling pantas untuk melalui proses atau langkah tersebut
adalah dengan mengikuti orang lain yang telah berjaya di dalam bidang
yang anda inginkan. Mereka ini sering kita gelar sebagai mentor. Mereka
yang telah berjaya mampu membimbing anda untuk turut sama mencapai
kejayaan. Jika anda mampu untuk mendapatkan bantuan mentor untuk
membimbing anda, maka cubalah berbuat demikian. Sekiranya anda tidak
mampu untuk mendapatkan bantuan mentor untuk secara one-on-one,
langkah terbaik seterusnya adalah dengan mendapatkan bahan-bahan
rujukan yang telah dihasilkan oleh mentor tersebut. Mungkin anda boleh
membaca newsletter, buku, produk digital atau sebarang bahan rujukan
lain yang telah dihasilkan oleh mentor tersebut untuk membantu anda.
Anda cuma perlu mengikuti jejak langkah usahawan tersebut untuk turut
berjaya di dalam bidang perniagaan internet anda.
Itulah Senarai Top 10 Kesilapan Usahawan Internet.
Saya berharap, perkongsian saya ini akan dapat membantu anda untuk terus
berusaha dan terus berjaya di dalam model perniagaan internet yang anda
ceburi sekarang.
Semoga kejayaan anda akan menjadi pemangkin kepada kejayaan orang lain yang turut ingin berjaya seperti anda.
Salam hormat dan salam kejayaan!