Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Esok bermulanya tahun baru 2009. Yang pastinya apabila tiba tahun baru, kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Sesungguhnya tahun 2008 ini padat dengan pelbagai peristiwa suka mahupun duka.
Tahun 2008 juga mencatatkan perubahan yang menarik dalam dunia keusahawanan. Kesan daripada keputusan pilihanraya 2008, struktur kerajaan Malaysia berubah. Kerajaan di bawah pimpinan Y.A.B Dato' Sri Abdullah Ahmad Badawi, membuat rombakan kabinet bagi mengorganisasikan semula struktur kerajaan, iaitu pada mana-mana bahagian yang bermasalah.
Hasil dari rombakan kabinet kerajaan itu, dilihat bantuan kepada para usahawan melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah dipermudah dan dipercepatkan. Salah satu langkah yang diambil oleh MARA ialah meluluskan pinjaman di bawah nilai RM20,000.00 di peringkat daerah, tanpa perlu dirujuk pada peringkat pusat dan masa diambil untuk meluluskan pinjaman tersebut ialah sekitar dua minggu.
Semoga tahun 2009 yang tiba ini "menghidangkan" cerita-cerita yang positif untuk masyarakat Malaysia, terutamanya dalam dunia keusahawanan Melayu. Marilah sama-sama kita berusaha dan berdoa agar masyarakat Melayu semakin menguasai ekonomi di "tanah air" yang bertuah ini...