Usaha memberi keselesaan kepada rakyat terutamanya golongan miskin tegar terus mendapat perhatian kerajaan.
Ini kerana golongan tersebut perlu dibantu bagi membolehkan mereka dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing dan sekaligus keluar dari miskin tegar.
Menyedari hakikat itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi turun padang dengan mewajibkan setiap pelatih di 206 Pusat GiatMARA menjalani latihan praktikal di luar pusat itu sejak tahun lalu.
Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, program yang dikenali sebagai GiatMARA Dekat Rakyat itu bertujuan mendedahkan pelatih dengan kerja-kerja sosial dengan masyarakat setempat.
Beliau berkata, ia juga sebagai satu usaha pihaknya untuk membantu kerajaan membasmi kemiskinan tegar di negara ini.
"Kerja sosial itu seperti membaikpulih rumah dan pendawaian elektrik bagi penduduk miskin yang dikenal pasti oleh kementerian setelah mendapat bantuan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)".
"Melalui kerja sosial itu juga dapat membantu pelatih mendekatkan diri dengan masyarakat setempat".
Beliau berkata demikina selepas meninjau program GiatMARA Dekat Rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Kampung Sungai Wang dan Kampung Kuala Trong.
Sebanyak dua buah rumah dibaiki menerusi program tersebut membabitkan kos di antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap sebuah.
Noh berkata, sebanyak 39 buah rumah dikenal pasti untuk dibaikpulih di kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Tambah beliau, kementerian memperuntukan sejumlah RM375,000 tahun ini bagi membantu membaikpulih rumah di Perak.
Menurutnya, pihaknya tidak boleh membaikpulih semua rumah kerana peruntukkan yang terhad.
"Kita menggunakan peralatan yang sedia ada yang tidak digunakan oleh Pusat GiatMARA untuk membaikpulih rumah tersebut".
"Barang yang dibuang itu boleh digunakan semula untuk membaikpulih rumah dan ia tidak melibatkan kos yang tinggi", katanya.
Noh menjelaskan, program itu amat berfaedah kerana pelatih boleh belajar di luar berbanding dengan latihan di pusat itu.
artikel asal ditulis oleh Ani Awang (Mingguan Malaysia - 8 Mac 2009)