Jumaat, Disember 04, 2009

Program basmi kemiskinan GIATMARA Melaka

Terima kasih diucapkan kepada ibu pejabat GIATMARA yang berpusat di Kuala Lumpur serta GIATMARA Negeri Melaka kerana memberi peluang serta membantu ahli KUG Melaka untuk terlibat dalam program membasmi kemiskinan.
Tahniah kepada semua ahli KUG Melaka yang terlibat serta mengambil peluang untuk turut serta bagi menjayakan program tersebut di Melaka. Semoga mutu kerja dan keterampilan anda selaku usahawan Muslim semakin menyerlah,baik dan cemerlang di masa hadapan.
~ Mas Ramizu Bin Mas Mohamad (Timbalan Pengerusi KUG Melaka)

Jumaat, November 27, 2009

Salam Aidiladha, 10 zulhijjah 1430

Assalamualaikum...
Hari ini merupakan antara hari yang "besar" dalam Islam, di mana semua umat Islam menyambut Aidiladha ataupun yang selalu disebut sebagai Hari Raya Haji. Bersyukurlah kerana kita masih boleh meneruskan kehidupan bagi mencari "modal" untuk "hari pembalasan" kelak.
Dalam setiap sambutan yang kita raikan, semua golongan termasuklah para usahawan Muslim sejati perlu memahami dan mengambil intipati dari pengertian pengorbanan dalam perjuangan kita meneruskan perniagaan.
Adalah mulia bagi seseorang usahawan itu menolak sesuatu projek ataupun tidak melibatkan diri dalam sesuatu konspirasi yang hanya mendatangkan keuntungan secara "tidak sihat" dan haram di sisi Islam. Janganlah mencampuradukkan sumber pendapatan halal dan haram di dalam perniagaan kita. Jika pendapatan hasil dari perniagaan kita tidak tentu halal haramnya, maka jadilah "HALAM" (HALAL + HARAM), yang boleh menjadi penyebab runtuhnya "konkrit ekonomi" umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Kenapa kita harus tamak membolot projek-projek, tanpa ingin berkongsi rezeki dengan usahawan lain? Kenapa harus bergantung kepada kroni dan proksi tertentu untuk mendapatkan projek / kerja? Tidak bolehkah kita membangun dan "kaya" bersama bagi membentuk "tembok ekonomi" bangsa kita?
Jika sikap berpuak, berkroni dan berproksi dalam memperoleh projek dan kerja masih dituankan, sememangnya akan berlaku rasuah dan penginayaan terhadap pihak lain. Pihak yang sepatutnya mendapat kerja yang diberikan, dicantas dan digantikan dengan pihak lain yang boleh memberi "duit kopi" kepada pihak yang meluluskan sesuatu pemilihan. Ada juga pihak yang benar-benar mendapat projek dari sumber serta cara yang sah, tetapi telah difitnah. Yang anihnya apabila ada pihak yang ingin membenteras budaya yang tidak sihat ini dalam sesuatu organisasi, pihak itu pula dijadikan "kambing hitam" atau segala macam jenis kambing yang ada, bagi menutup konspirasi tertentu.
Tetapi dengan kepimpinan dan jawatankuasa yang ada dalam MARA dan segala agensi yang berkaitan dengannya, diharapkan budaya rasuah, fitnah dan ketidakadilan tidak "membenih" dalam organisasi yang menjadi tempat bergantungan para usahawan Melayu memohon tunjuk ajar serta perlindungan setelah pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ayuh kita mulakan perubahan sekarang!. Bersama-samalah kita membina jatidiri dan akhlak mulia bersandarkan struktur ekonomi berteraskan Islam. Jika anda seorang usahawan, jadilah usahawan yang berjaya di dunia dan akhirat. Jika anda seorang pegawai yang berkuasa meluluskan sesuatu, buatlah pertimbangan yang sewajarnya dan adil dalam perlaksanaan undang-undang kerana ia adalah tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

Ahad, November 01, 2009

Makluman untuk usahawan dari GIATMARA Melaka

Melalui Kelab Usahawan GIATMARA Melaka, para usahawan yang terdiri dari lepasan GIATMARA dipelawa untuk mendaftar di pejabat GIATMARA Negeri Melaka untuk membolehkan para usahawan mendapatkan kerja-kerja pembekalan ,traning providor dan lain-lain yang berkaitan dari pihak GIATMARA Negeri Melaka. Untuk keterangan lanjut, sila datang ke pejabat GIATMARA Negeri Melaka di tingkat 4, Kompleks Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, Melaka.

Jumaat, September 25, 2009

Salam Syawal 1430 / 2009

Assalamualaikum..
Pengurusan Kelab Usahawan GIATMARA Melaka, mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" kepada semua usahawan dan bakal usahawan yang terhasil dari GIATMARA seluruh negeri Melaka.
Semoga para usahawan GIATMARA negeri Melaka bijak dalam menjalankan perniagaan. Berniagalah secara terhormat, bekerjasama tidak kira apa jua jenis perniagaan serta membuat rangkaian perniagaan yang asli dan kukuh agar lama kelamaan akan wujud golongan usahawan Melayu Islam yang mempunyai pemikiran baru, tiada hasad dengki, jujur dalam perniagaan serta mementingkan halal dalam setiap urusniaga.
Para usahawan juga amat digalakkan membaca buku-buku atau lain-lain sumber pembacaan terutamanya yang berkaitan dengan dunia perniagaan. Selain dari menambahkan pengetahuan serta meningkatkan mutu perniagaan sendiri, ia juga dapat dijadikan bahan untuk dikongsi bersama rakan-rakan usahawan lain, agar kita dapat membentuk jaringan usahawan yang berdaya saing dan kukuh dalam menghadapi pelbagai keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Isnin, Julai 13, 2009

Kursus Keusahawanan untuk Penjaja Kecil 2009

Maklumat kursus :
Kod kursus : AERSC-15-4/4
Tarikh : 16 - 18 Okt di Melaka
Maklumat lanjut dan permohonan kursus boleh dibuat dengan menggunakan Borang Permohonan Kursus Tahun 2009 yang boleh didapati di Agensi Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Pejabat-Pejabat Pembangunan Negeri, Jabatan-Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Pejabat-Pejabat Daerah serta laman web kementerian - http://www.rurallink.gov.my/
Permohonan lengkap hendaklah dihantar ke alamat berikut:
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
Bahagian Ekonomi Desa,
Aras 6, Blok D9, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62606 PUTRAJAYA.
Tel: 03 8886 3831/ 3698/ 3696/ 3792 Faks: 03 8889 2140

Selasa, Jun 16, 2009

Jadual Siri Bengkel Bulan Jun 2009

>>PEMBENIHAN IKAN AIR TAWAR KELI/PUYU/TALAPIA
SUNGAI UDANG, MELAKA
13 HINGGA 15 JUN 2009

>>BENGKEL USAHAWAN FERTIGASI
PUSAT LATIHAN AGROBANK
19 HINGGA 21 JUN 2009
>>BENGKEL USAHAWAN KAMBING
KUALA KANGSAR
26 HINGGA 29 JUN 2009
>>BENGKEL USAHAWAN KETUTU
SUNGAI PETANI
27 HINGGA 29 JUN 2009

* Sebarang pertanyaan / maklumat lanjut sila hubungi : -
03-89259042 / 43 / 44 / 45 (Pn. Sarah / Pn. Sharifah) / 013-5101901 (Encik Abdul Hamid)/ 012-6247684 (Aley) / 012-3558510 (Dino) / 03-92877777 samb. 259 (Lieya)
Emel : maisaroh.teeman@agrobank.com.my / sharifah.zaliha@agrobank.com.my / lieya@utusan.com.my / dino@utusan.com.my

Selasa, Mei 12, 2009

Inkubator GIATMARA (D' Taufiq Bakery)

GIATMARA Melaka sentiasa aktif dalam memberi peluang pada pelatih mahupun bekas pelatihnya dalam menjalankan perniagaan, terutamanya yang berkaitan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di seluruh GIATMARA di negeri Melaka.
D' Taufiq Bakery (Mohd. Taufiq Bin Rahim) merupakan usahawan inkubator terkini yang diwujudkan oleh pihak pengurusan GIATMARA. Bertempat di G -02, Kompleks Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka ianya turut diuruskan bersama oleh Eno Enterprise (Nor Bayah Binti Sulaiman) dan Amirul Hakim Enterprise (Amirul Hakim Bin Ab. Sani). Turut berniaga di bangunan yang sama ialah usahawan dari inkubator jahitan dan ICT Niaga Enterprise (Ahmad Zaki Bin Abdul Rahim).

Isnin, Mei 11, 2009

Jemputan ke majlis perkahwinan

Dijemput semua ahli Kelab Usahawan GIATMARA Melaka dan mereka yang berkaitan untuk datang ke majlis perkahwinan saudara Sabri Bin Mamat, merupakan bekas naib pengerusi KUG Melaka serta bekas pelatih GIATMARA yang menjalankan perniagaan basikal di Alor Gajah. Majlis tersebut diadakan di alamat 1025-1, Batu 4, Batu Berendam, 75350 Melaka pada hari Ahad, 7 Jun 2009.

Selasa, April 28, 2009

Intipati dari perjumpaan semalam

Encik Abdul Razak, Pengerusi Kelab Usahawan GIATMARA Melaka.
Jemaah Ahli Jawatan Kuasa KUG Melaka
Antara perkara yang dimaklumkan serta diperbincangkan pada perjumpaan para ahli KUG Melaka semalam ialah mengenai "Projek membasmi kemiskinan", yang mendapat kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah.
Melalui GIATMARA Melaka, Kelab Usahawan GIARMARA Melaka mendapat peluang untuk melibatkan diri dalam projek amal tersebut.
Ada beberapa perancangan sedang dalam perbincangan, dan akan diperjelaskan serta diperhalusi dari semasa ke semasa agar semua ahli KUG Melaka memahami konsep sebenar perlaksanaan projek ini. Sasaran projek ini adalah penduduk miskin yang tinggal dalam negeri Melaka.
Antara projek yang akan dijalankan ialah memilih beberapa warga desa yang termasuk dalam golongan miskin untuk diberikan latihan kemahiran. Matlamatnya agar latihan tersebut menjadi landasan mereka untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara kehidupan seharian. Latihan kemahiran ini akan dikendalikan oleh ahli-ahli Kelab Usahawan GIATMARA Melaka.
Projek yang lain ialah membaiki rumah dan apa-apa peralatan yang perlu dibaiki,yang dimiliki oleh masyarakat miskin tersebut.

Sabtu, April 25, 2009

Perjumpaan ahli KUG Melaka

Satu perjumpaan bagi ahli-ahli KUG Melaka akan diadakan di Dewan GIATMARA Kota Melaka pada hari Isnin, 27/04/2009, pukul 2.00 ptg.
Kepada semua ahli KUG Melaka yang telah mempunyai syarikat berdaftar, sila bawa salinan sijil SSM dan Kementerian Kewangan (jika ada) semasa menyertai perjumpaan tersebut.

Khamis, April 23, 2009

GIATMARA wadah penjana ekonomi masyarakat

Dalam siri rancangan "Bersamamu - TV3", yang bersiaran pada semalam (23-04-2009, Rabu) mengisahkan mengenai dua orang anak penduduk miskin di salah satu daerah di Negeri Sembilan, yang menerima latihan kemahiran di GIATMARA Kuala Pilah.
Ini sebagai permulaan bagi mereka membebaskan diri belenggu kemiskinan. Melalui GIATMARA, para pelatihnya akan menerima peluang yang cukup baik untuk memajukan diri dari segi penguasaan ilmu dan menggunakan kemahiran yang diperolehi sebagai landasan untuk menyara kehidupan ataupun sebagai sumber pendapatan yang halal.
Jika dilihat sendiri pada perkataan "GIAT", membawa pengertian yang mendalam. Dalam bahasa Melayu, "giat" memberi erti rajin berusaha, berusaha bersungguh-sungguh dan makna-makna lain yang seumpamanya. "GIAT" juga adalah singkatan kepada "Gerak Insan Anak Tempatan", yang sememangnya bertepatan dengan hasrat GIATMARA itu sendiri iaitu bagi memberi peluang kepada anak-anak Melayu dan bumiputera memperbaiki pencapaian diri, terlangsungnya membentuk satu komuniti masyarakat yang berwawasan dan berilmu tinggi.

Jumaat, April 03, 2009

Pejabat operasi Kelab Usahawan GiatMARA Melaka

Pada hari ini (Jumaat, 03/04/2009), bermula pukul 8.30 pagi, diadakan sesi gotong royong mengemaskan bilik ( ruang pejabat ) bagi kegunaan Kelab Usahawan GiatMARA Melaka di tingkat 4, Kompleks Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, Melaka.
Usaha membersih dan mengemaskan ruang pejabat dan kawasan sekitarnya turut dibantu oleh beberapa pelajar GiatMARA Kota Melaka yang terdiri dari pelbagai kursus kemahiran.
Dengan adanya bilik operasi ini, aktiviti KUG Melaka dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan selesa.

Isnin, Mac 30, 2009

Perkasakan GiatMARA

MARA juga memberi penumpuan untuk membangunkan generasi muda yang mempunyai minat dalam bidang kemahiran tetapi kurang cemerlang dalam bidang akademik.
Biarpun setengah pihak mengabai dan mengetepikan kumpulan pelajar ini tetapi MARA melihat mereka juga adalah modal insan yang perlu dibangunkan kerana sebahagian besar daripada mereka adalah berbakat tetapi tidak menyedari potensi yang ada dalam diri mereka sendiri.
Kerana itulah MARA mewujudkan 206 buah GIATMARA di seluruh negara dan ia dibina di kawasan-kawasan kediaman untuk memberi latihan dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran kepada kumpulan pelajar terbabit.
Sejak penubuhan GIATMARA pada tahun 1986, pusat itu telahpun melahirkan seramai lebih kurang 184,908 orang pelajar dalam pelbagai bidang kemahiran dan lebih membanggakan, ramai di antara mereka telahpun berjaya dalam bidang perniagaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah pada tahun lepas mengumumkan bahawa GIATMARA sudah menetapkan tiga hala tuju baru dikenali kemahiran "3 T" iaitu Tempatan, Tinggi dan Tukang sebagai tambah nilai kepada yang ada sekarang.
Di bawah kemahiran Tempatan, pihak GIATMARA merancang untuk menghidupkan semula kemahiran berbentuk warisan agar ia tidak luput ditelan zaman.
Manakala bagi kategori kemahiran Tinggi pula, GIATMARA sudah mula teroka cara-cara bagi menggalakkan para pelatihnya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan salah satu cara ialah dengan menjalinkan usahasama bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Bagi kemahiran Tukang pula, GIATMARA menggalakkan mana-mana individu memahirkan diri dalam bidang tertentu sehingga menjadi profesional seperti ikon kasut dunia, Datuk Jimmy Choo. Kejayaan sebegitu sekaligus mampu menaikkan martabat GIATMARA ke peringkat lebih tinggi.
~sumber dari Berita Harian

Rabu, Mac 25, 2009

Harapan baru untuk KUG Melaka

Seperti yang telah dimaklumkan, satu Mesyuarat agung yang pertama telah diadakan di Dewan GiatMARA Kota Melaka, Tingkat 3, Kompleks Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka.

Berikut adalah senarai jemaah kepimpinan KUG Melaka yang baru bagi tahun 2009/2010:
Pengerusi : Abdul Razak Bin Diman ( RRN BEMBAN JAYA ENTERPRISE )
Naib Pengerusi : Ramizu Bin Mohamad ( RAMIZU SUPPLY & SERVICES)
Setiausaha : Norbahyah Binti Sulaiman ( ENO ENTERPRISE )
Naib Setiausaha : Azizah ( EZZEY COLLECTION )
Bendahari : Latifah ( INTAN ANGGUN COLLECTION )
AJK :
Rizuan Bin Abdul Malek ( RIBAM GOLDEN NEEDLES )
Rasdan Bin Mohamad ( SERAMBI TIMUR TRADING )
Asri Bin M. Amat ( ZASKAH ENTERPRISE )
Nur Hafizah Binti Karim ( SYARIKAT NUR HAFIZAH KARIM )
Abdullah Bin Majid ( ABM BAKTI ENTERPRISE )
Kamariah Binti Ibrahim ( INTAN ANGGUN COLLECTION )

Rabu, Mac 18, 2009

Mesyuarat Agung Pertama KUG Melaka

Kelab Usahawan GiatMARA ( KUG ) Melaka yang telah berdaftar pada 14 Ogos 2008 dengan nombor pendaftaran 1419-08-MEL akan mengadakan Mesyuarat Agung Pertama pada waktu berikut :~
Tarikh : 22 Mac 2009 ( Ahad )
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Dewan GiatMARA Kota Melaka, Tingkat 3, Kompleks Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka.
Perasmi : Pengarah MARA Negeri Melaka.

Jumaat, Mac 13, 2009

Program "GiatMARA Dekat Rakyat" dedah kerja sosial masyarakat

Usaha memberi keselesaan kepada rakyat terutamanya golongan miskin tegar terus mendapat perhatian kerajaan.
Ini kerana golongan tersebut perlu dibantu bagi membolehkan mereka dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing dan sekaligus keluar dari miskin tegar.
Menyedari hakikat itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi turun padang dengan mewajibkan setiap pelatih di 206 Pusat GiatMARA menjalani latihan praktikal di luar pusat itu sejak tahun lalu.
Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, program yang dikenali sebagai GiatMARA Dekat Rakyat itu bertujuan mendedahkan pelatih dengan kerja-kerja sosial dengan masyarakat setempat.
Beliau berkata, ia juga sebagai satu usaha pihaknya untuk membantu kerajaan membasmi kemiskinan tegar di negara ini.
"Kerja sosial itu seperti membaikpulih rumah dan pendawaian elektrik bagi penduduk miskin yang dikenal pasti oleh kementerian setelah mendapat bantuan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)".
"Melalui kerja sosial itu juga dapat membantu pelatih mendekatkan diri dengan masyarakat setempat".
Beliau berkata demikina selepas meninjau program GiatMARA Dekat Rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Kampung Sungai Wang dan Kampung Kuala Trong.
Sebanyak dua buah rumah dibaiki menerusi program tersebut membabitkan kos di antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap sebuah.
Noh berkata, sebanyak 39 buah rumah dikenal pasti untuk dibaikpulih di kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Tambah beliau, kementerian memperuntukan sejumlah RM375,000 tahun ini bagi membantu membaikpulih rumah di Perak.
Menurutnya, pihaknya tidak boleh membaikpulih semua rumah kerana peruntukkan yang terhad.
"Kita menggunakan peralatan yang sedia ada yang tidak digunakan oleh Pusat GiatMARA untuk membaikpulih rumah tersebut".
"Barang yang dibuang itu boleh digunakan semula untuk membaikpulih rumah dan ia tidak melibatkan kos yang tinggi", katanya.
Noh menjelaskan, program itu amat berfaedah kerana pelatih boleh belajar di luar berbanding dengan latihan di pusat itu.
artikel asal ditulis oleh Ani Awang (Mingguan Malaysia - 8 Mac 2009)

Jumaat, Februari 27, 2009

Rebut peluang perniagaan

Bukan mudah menjadi seorang usahawan yang berjaya, apatah lagi ia menuntut banyak pengorbanan termasuk kebijaksanaan peniaga itu sendiri untuk mencorak bentuk perniagaan yang dijalankan.
Bagi golongan muda, keusahawanan adalah bidang yang sering ditekankan ketika ini sama ada di peringkat institusi pengajian tinggi ataupun seawal-awal sekolah menengah, berikutan keupayaannya membentuk masa depan gemilang.
Bagaimanapun, tidak bermakna kerjaya di bidang lain kurang memberangsangkan, akan tetapi dunia keusahawanan memberi lebih banyak kepuasan serta peluang kepada pelopor untuk terus berkembang.
Pada Simposium Usahawan Muda Asean (A-Yes) Ke-2, baru-baru ini, peniaga belia tempatan diberi pendedahan untuk membina jaringan perhubungan dengan usahawan negara Asean disamping mencari peluang perniagaan di sana.
Menurut Pengerusi Sekretariat A-Yes Malaysia, Sohaimi Shahadan, simposium itu ibarat "platform" kepada peniaga muda untuk mengembangkan bisnes mereka termasuk merebut seberapa banyak peluang yang ada.
"Kita ini selaku penyedia saja, terpulang kepada usahawan muda tempatan sendiri sama ada mahu menggunakan kesempatan yang ada bagi melebarkan perniagaan mereka diperingkat Asean atau tidak", katanya.
Hampir 75 peratus atau kira-kira 600 usahawan muda tempatan yang menghadiri simposium itu didedahkan pelbagai maklumat berhubung pengwujudan peluang perniagaan dan bagaimana perkongsian dapat dijalankan antara negara serantau.
Menerusi siri ceramah kendalian usahawan yang telah berjaya, antaranya dari Malaysia dan negara luar termasuk Taiwan dan Timur Tengah, peserta simposium lebih bersikap positif untuk meluaskan pasaran hingga ke peringkat global.
"Ini yang menjadi hasrat kita apabila menganjurkan seminar ini. Kita mahu usahawan muda tempatan berpandangan jauh ke hadapan dan sanggup menyahut cabaran memasuki pasaran negara luar dimulai Asean sekali gus kukuhkan perhubungan perniagaan di sana", katanya.
Bak kata wakil Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Selangor (DPMMS), Datuk Ir Ahmad Zaidee Laidin, orang muda memiliki kudrat yang masih kuat dan bertenaga, jesteru perlu gunakannya ke saluran yang benar.
Katanya, status muda adalah masa terbaik untuk merebut sebanyak mungkin peluang yang terhidang di depan mata bagi meluaskan pengaruh dan membina jaringan hubungan perniagaan yang baik di kalangan negara serantau mahupun peringkat global.
"Selagi bertenaga dan berkeupayaan, orang muda kena cepat, rebut peluang yang diberikan dan bina jalinan perniagaan dengan baik menerusi kerjasama. Anggap saluran yang disediakan kerajaan termasuk di A-Yes ini permulaan melangkah ke fasa berikutnya", katanya.
Beliau turut menekankan konsep rakan kongsi dalam perniagaan yang mana bukan sekadar perjanjian atas kertas, sebaliknya lebih menyeluruh mencakupi pemahaman antara satu sama lain, kenali kekuatan masing-masing dan sebagainya.
Untuk itu, generasi muda yang mahu bergelar usahawan, perlu bersedia dari segi mental dan fizikal serta sanggup berdepan risiko, malah tidak boleh lagi bersikap pasif sebaliknya agresif mencari lubuk yang boleh mengembangkan lagi perniagaan.
~ artikel diambil dari Harian Metro, penulis artikel ialah Maiamalina Mohamed Amin
( maiamalina@hmetro.com.my)

Khamis, Januari 22, 2009

GiatMARA latih pelajar dari Sudan kemahiran automotif

Kejayaan melahirkan ramai usahawan kemahiran bertaraf antarabangsa memberi keyakinan kepada GiatMARA terus berkongsi dan memperluaskan kepakaran dengan menyediakan latihan kepada pelatih luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meriyam Abdul Majid berkata, di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia, Unit Perancang Ekonomi melantik GiatMARA sebagai penyedia latihan bagi melaksanakan projek rintis kerajaan kepada kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Sudan mulai bulan ini (Januari 2009).
Menerusi projek itu, beliau berkata, GiatMARA bertanggungjawab melatih pelatih Sudan untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang ditetapkan iaitu automotif.
"Sebagai permulaan, kita akan melatih sepuluh pelatih kumpulan pertama projek ini dari Sudan yang akan di tempatkan di GiatMARA Johor Bahru dan menjalani latihan industri di Smart Auto MARA di Johor Bahru, masing-masing selama tiga bulan," katanya.
Pelaksanaan projek rintis itu adalah kesinambungan Projek Khas GiatMARA bersama Petronas dan kerajaan Sudan sejak 2006 yang setakat ini berjaya melatih 355 pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran.
~ petikan artikel diambil dari Berita Harian yang ditulis oleh Khairina Yasin ( kayrina@bharian.com.my)

Ruangan Iklan

Ruangan Iklan
MininiagaProgram SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH Potato Spring, Spring Potato, Twist Potato, Tornado Potato, Spiral Potato, Kentang Spring - KentangSpring.com eBook Import Dari China Pakej Automatic eBay Powerseller
Related Posts with Thumbnails

Artikel busuk.org

Artikel ohblog