Latest Post

Jumaat, Jun 15, 2012

Mengapa perlu ada blog untuk perniagaan

 
Dirujuk dari Irfan Khairi (jutawan internet)


Mengenalpasti mengapa blog masih lagi perlu untuk sesebuah perniagaan walaupun terdapat pelbagai laman web sosial seperti facebook dan myfriend2u melalui kaedah "akronim B-L-O-G" :



B - Bina Jenama
Blog amat penting dalam mebina jenama perniagaan kita. Seseorang masuk ke laman web kita sekali, dua, belum lagi akan membeli produk yang kita pasarkan. Ia memerlukan pelawat melawati laman web kita berkali-kali (5-6 kali) barulah mereka akan membeli daripada kita. Ini kerana, ia mengambil masa untuk membina kepercayaan orang ramai keatas laman kita, dan blog yang sering dikemaskini akan membina kepercayaan dan jenama perniagaan anda.

L - Letakkan imej/gambar
“A picture paints a thousand words!” Untuk memberi tarikan kepada blog kita, pastikan setiap posting kita mengandungi imej atau gambar (dan bukan hanya teks sahaja). Imej atau gambar pada setiap posting blog anda akan memberi tarikan untuk pelawat membaca. Satu tip tambahan, meletakkan gambar orang/manusia dapat menarik psikologi pelawat oleh kerana manusia boleh relate dengan manusia lain.

O - Optima di enjin pencari
Enjin pencari seperti Google, Yahoo atau MSN suka pada laman web yang banyak maklumat dan sering dikemaskini. Blog, boleh mengoptimakan laman web kita di enjin pencari dan membawanya ke muka hadapan enjin pencari. Segala mesej-mesej yang ditulis di blog akan diarkibkan untuk selama-lamanya- tidak kira sama ada artikel yang ditulis pada tahun 2006 (seperti di blog ini), masih lagi boleh dijumpai di enjin pencari di muka hadapan!

G - Gandakan pendapatan
Di blog, kita boleh menjana pendapatan tambahan dengan meletakkan iklan Google.com/adsense. NuffNang atau lain-lain program pengiklanan yang sah. Dengan meletakkan iklan di blog kita, sambil blogging, kita boleh menjana pendapatan. Jangan lupa juga, blog merupakan platform yang amat baik untuk menjalankan perniagaan berbentuk affiliate tanpa sebarang modal.

Isnin, Mac 19, 2012

Cara menjimatkan masa

 

Artikel pilihan dari Irfan Khairi
(Jutawan Internet Malaysia)


Masa adalah komoditi yang amat berharga pada zaman ini. Sering kali dilihat, mereka yang berjaya adalah mereka yang agak berumur. Ini kerana, masa telah memainkan peranan dalam mengumpulkan kejayan.

Bagaimanapula rahsia mencapai kejayaan cemerlang di usia yang muda? Jawapannya adalah pengurusan masa yang bijak!

Berikut adalah ringkasan 3 tip yang saya sampaikan:  

- Menetapkan matlamat jangka pendek adalah sebahagian daripada mengurus masa dengan cekap. Tulis apa yang anda hendak lakukan hari ini... esok... minggu ini. Kiranya, matlamat jangka pendek. Aksi menulis tersebut akan membuatkan matlamat jangka pendek kita masuk ke minda separuh sedar kita, dan menjadikan kita lebih cekap dalam menyiapkan apa sahaja kerja yang ditulis. 

- Tulis matlamat di atas pada malam sebelumnya. Kerana, ketika tidur pun, apa yang kita rancangkan untuk esok akan bermain di kepala kita dan membuatkan kerja tersebut lebih mudah untuk dilaksanakan dengan cepat. 

- Fikirkan kesengsaraan atau berita buruk yang akan terjadi sekiranya kerja yang kita ingin lakukan tidak siap. Manusia adalah insan yang beremosi. Kita melakukan sesuatu kerana inginkan kebahagiaan, dan mengelakkan kesengsaraan. namun, keadaan emosi "mengelakkan kesengsaraan" adalah lebih kuat untuk memotivasikan kita melakukan kerja dengan lebih cekap.
Menjimat masa adalah amat penting kerana masa yang terlepas... kita tidak akan jumpa kembali!

Sabtu, November 05, 2011

KUG Melaka : Salam Aidiladha dan fahami erti pengorbanan yang sebenar dan hakiki


Assalamualaikum...

Seperti yang sedia maklum, raya Aidiladha juga dikenali sebagai raya haji dan raya korban.  Memperkatakan soal korban, apakah kita sedar erti dan makna tersirat disebaliknya?.

Jika dalam lapangan perniagaan, pengorbanan menjadi faktor penentu pencapaian dan perjalanan sesuatu entiti perniagaan.  Perniagaan di peringkat awal sememangnya memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi bagi menjayakan rancangan syarikat dan "memberi nyawa" pada perniagaan baru.

Sebagai ahli perniagaan yang beragama Islam, wajibnya kita menjadikan Rasullullah SAW sebagai contoh usahawan yang utama dan mematuhi hukum hakam serta panduan seperti yang terkandung dalam kitab kalam Allah SWT iaitu Al Quran.  Berkorban dalam perniagaan bermaksud tidak hanya mementingkan "periuk nasi" sendiri semata.  Kita perlu fikirkan kepentingan bersama dalam satu perkumpulan masyarakat sekitar kita.

Rezeki yang dilimpah kurniakan oleh Allah SWT harus dikongsi bersama agar kesejahteraaan dapat dirasai secara menyeluruh, tidak hanya sesetengah kelompok saja.  Tidak dinafikan di kalangan kita masih ada yang tamak, sifat iri hati dan dengki yang melampau, malah ada juga yang sanggup menyebar fitnah dan pelbagai usaha memecahbelahkan perpaduan yang telah lama cuba dibentuk oleh saf pemimpin KUG  dan KOGIAT Melaka demi kepentingan peribadi.  Walaupun begitu sekali dugaan yang kami hadapi, usaha dan perancangan tetap diteruskan.

Ada anggota / ahli "lama" yang pada peringkat awalnya tidak bersama-sama dengan saf kepimpinan KUG dan KOGIAT Melaka yang dipimpin oleh Encik Ramizu selaku pengerusi, terus menerus "menembak" saf kepimpinan kami dengan pelbagai tomahan dan menghadiahkan doa yang buruk pada kami.  Mempersoalkan sesuatu perkara yang tidak dihadapkan secara bersemuka, hanya cakap-cakap belakang sahaja.

Bermula dengan tiada sistem fail dan simpanan maklumat, tiada borang, tiada kepala surat, tiada pejabat yang berkarpet dan berhawa dingin, beralmari, bermeja dan berkerusi, perlu pula menguruskan pendaftaran pertubuhan bagi koperasi dan kelab, perlu pula untuk menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan terutamanya dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia.., sehingga perniagaan sendiri agak terjejas... adakah mereka yang "menembak" ini melihat pengorbanan kami serta sanggup berkorbankan masa, tenaga dan wang untuk melengkapkan segala keperluan bersama ini...???

Orang-orang seperti ini bukannya memperjuangkan kebenaran, tetapi memperjuangkan kepentingan peribadi sekelompok manusia yang berniat jahat dan tidak ikhlas, walaupun kata-kata yang dituturkan oleh mereka kedengaran manis dan baik, tetapi disebaliknya tersembunyi "jarum beracun" yang akan mencucuk pihak-pihak lain agar percaya fitnah dan omongan kosong mereka.  Mereka menggalakkan kebencian, sedangkan kami menggalakan perpaduan.

Kepada mereka yang sudah mendengar cerita-cerita sumbang mengenai apa sahaja perkara, janganlah percaya dengan fitnah itu.  Silalah berurusan terus dengan saf kepimpinan KUG  dan KOGIAT Melaka.  Jangan biarkan diri anda terpalit dengan noda bersulam dusta. 

Dapatkan maklumat yang tepat dari Pengerusi ataupun AJK dan ALK yang benar-benar berkomitmen tinggi menjayakan saf perpaduan kita ini.  Sama-samalah kita berdoakan agar usaha kami dan anda juga berjaya dalam perjuangan ini demi kepentingan bersama...

Isnin, September 26, 2011

Rezeki dari Allah SWT

 


 Dirujuk dari :


Kali ini mari kita merenung serangkai ayat Qur'an yang menceritakan tentang rezeki. Firman Allah SWT :
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
"......dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya" (Surah Hud, ayat 6).
Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya Allah yang memiliki segala sifat kebesaranNya.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
"Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" (Surah Ali Imran, ayat 109).
Selain dari Allah SWT siapa lagi yang boleh mencukupkan sumber rezeki yang tidak pernah putus-putus bagi menyambung kitaran kehidupan di alam ini. Bukan satu atau dua hari tetapi ribuan malah mungkin jutaan tahun. Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak untuk menurun dan mengeluarkan segala rezeki dari sumber mana yang dikehendakiNya.
Inilah antara makna "Ilah" yang terkandung di dalam kalimah syahadah iaitu "la ilah haillallah". Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah ini mengajar kita iktiqad "Tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah". Jika seseorang mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain Allah SWT bererti dia telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan boleh membawa kepada syirik.
Majikan atau tempat kita kerja adalah seperti posmen yang menghantar surat kepada seseorang. Bukannya surat itu daripadanya sendiri kerana rezeki yang berada ditangannya itu juga datang dari Allah. Bagaimana jika Allah menahan rezeki kepadanya?
Firman Allah SWT :
أَمَّنْ هَٰذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ ۚ
"Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya" (Surah Al-Mulk, ayat 21).
Pada waktu pagi kita dianjurkan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ مَا أَصْبَحَ بِي مِنْ نِعْمَةٍ أَوْ بِأَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ فَمِنْكَ وَحْدَكَ ، لا شَرِيكَ لَكَ ، فَلَكَ الْحَمْدُ ، وَلَكَ الشُّكْرُ
"Ya Allah, pada pagi-pagi ini, apa juga nikmat yang ada padaku atau mana-mana makhlukMu, semuanya dariMu. Tiada sekutu bagiMu. Milikmu segala pujian dan terima kasih kami" (Zikir al-Ma'surat. Riwayat Imam an-Nasai dari Abdullah bin Ghannam r.a.).
Ini membawa pengertian supaya akidah tauhid kita dibetulkan sebelum kita memulakan aktiviti mencari rezeki pada awal-awal pagi. Manusia hanyalah makhluk yang sangat lemah sehingga tidak mampu menjadikan sebiji nasi pun di atas bumi ini dan bergantung kepada pohon padi dari ciptaan Allah SWT
Allah SWT menjamin rezeki pada semua mahluk tetapi kenapa ada yang mati kebuluran. Hal ini diterangkan Allah dalam firmanNya :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" (Surah ar-Rum, ayat 41).
Kematian dan kebuluran 26 ribu orang di Euthopia bukti sebuah kebinasaan akibat dari pendurhakaan manusia. Bumi dirosakkan oleh tangan-tangan manusia seperti tubuh badan yang dirosakkan oleh ubatan kimia yang bernama drugs. Tubuh yang dibekalkan dengan sistem imuniti juga hancur akibat dari dadah yang diambilnya pada setiap hari. Inilah sebabnya Allah menurunkan peraturan hidup yang sempurna untuk kesinambungan rezeki dan hidup di dunia ini.
Bagi menyelamat dunia yang kian hancur ini hanya satu sahaja iaitu ugama Allah. Ugama yang perlu ditegakkan sebagai "deenulhayah" untuk kesejahteraan ummat di muka bumi ini jika tidak terimalah padahnya iaitu penderitaan dan kemusnahan.
Perkara kedua dari ayat awal di atas difahami bahawa rezeki itu juga perlu dicari sebagaimana Allah menyatakan dengan kalimah "makhluk bergerak" bukannya hanya menanti yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Lihatlah rezeki seekor burung yang terjamin apabila ia keluar dari sarangnya. Kemalasan berikhtiar menjadikan periuk nasi juga kosong bukan kerana tidak ada jaminan dari Allah tetapi kerana ia yang memilih untuk itu.
Ini terkecuali dengan ujian dari Allah yg berupa kekurangan makanan dan buah-buahan seperti firman Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Surah al-Baqarah, ayat 155).
Ujian adalah hak Allah sama seperti rezeki. Hikmah dari ujian akan menjadikan sesuatu ummat itu bertambah kuat bukannya semakin lemah. Ia tergantung bagaimana sikap yang diambil terhadap ujian yang menimpanya. Jika ujian itu mematikan jiwa dan semangatnya, petandanya Allahlah yang menyempitkan kehidupannya seperti asma' Allah yang bernama "Al Qobidh".
وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
"Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan" (Surah al-Baqarah, ayat 245).
Bangsa-bangsa yang terus "bergerak" telah menguasai dunia dibandingkan dengan bangsa yang suka berpeluk tubuh. Mereka menguasai semua bidang keilmuan di atas pokok perubahan yang dilakukan pada setiap detik. Rezeki itu kuncinya ilmu kerana itulah ia perlu bergerak bagi mencarinya.
Berkata Imam Syafi'ie rhm:
من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم
"Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu".
Nasib itu tidak terletak pada tapak tangan tetapi terletak pada tangan dan kaki. Keluar dari zon statik kepada zon dinamik untuk mengubah nasib yang menimpa diri sendiri.
Firman Allah SWT :
إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah ar-Ra'du, ayat 11).
Soal rezeki terlalu panjang perbahasannya tetapi penutupnya pula adalah pendek lagi ringkas iaitu semuanya rezeki itu adalah datang dari Ar Razaq.

Sabtu, September 24, 2011

Kuasa dan Keajaiban bersedekah

 

Artikel dari sumber : Usahawan.com 

Sedekah adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita. Kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Allah akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterkan seluruh hidup kita. Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya. Kerana, dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Beriman dengannya dan bersedekah seikhlasnya. Sedekah seikhlasnya mampu meringankan beban seseorang dan menjauhkan diri kita daripada panas api neraka. 

Perkara-perkara untuk mendapat kesempurnaan dalam amalan sedekah
Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah. Bukan disebabkan nama dan balasan dikemudian hari. Bagi memastikan sedekah kita tidak sia-sia, Islam mengajar umatnya menyumbang dan bersedekah dengan menepati erti sedekah yang sebenar. Maka, beberapa perkara perlu diambil kira demi kesempurnaan dalam amalan bersedekah.

Barang yang elok dan baik
Antaranya, barang yang hendak disedekahkan itu mesti baik, elok dan tidak malu untuk dipakai. Jika kita sendiri tidak tergamak memakainya, tidak perlulah barang itu disedekahkan. Sedekahlah dengan barang yang disukai penerima. Allah melarang kita bersedekah dengan barang yang tidak elok kerana sedekah adalah ibadat dan sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah. Buktinya telah Allah nyatakan dalam Surah Al- Baqarah ayat 267.

Hasil yang halal
Semua perkara atau wang yang kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan mesti terdiri daripada hasil yang halal. Kerana, pemberian yang halal akan menggugurkan dosa dan mendatangkan pahala. Selain itu juga akan dijauhkan dari bala. Seseorang yang bersedekah dengan harta yang halal juga akan dijauhkan daripada api neraka dan akan dimasukkan ke dalam syurga. Sekiranya seseorang bersedekah dengan harta yang haram, dia tidak akan memperolehi sebarang kebaikan kecuali azab kerana memberi sesuatu yang haram kepada orang lain. Terdapat sebuah hadith mengatakan bahawa di dalam neraka Jahanam terdapat sebuah rumah yang bernama ‘Baitul Huzni’ yang disediakan Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta yang haram. 

Memberi sedekah barang yang disayangi
Kemudian, adalah sunat bagi kita untuk memberi sedekah barang yang menjadi kesayangan dan kesukaan kita tidak kira banyak atau sedikit. Allah juga telah membuktikan perkara ini dalam Surah Al-Imran ayat 92 bermaksud, “Kamu sekali-kali tidak akan mecapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa juga yang kamu dermakan maka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”

Sedekah dengan niat yang ikhlas
Sedekah dengan seikhlas hati, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan akan merosakkan niat bersedekah. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 264 bermaksud, Allah telah membandingkan orang yang mengungkit dalam amalan sedekahnya seperti “Batu licin yang terdapat tanah diatasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat. Setelah hujan reda, batu itu sudah licin dan tiada lagi tanah di atasnya. Demikian juga dengan orang yang kafir dan riak. Mereka gagal mendapat satu ganjaran pahala daripada apa yang telah diusahakan. Dan ingatlah bahawa Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum kafir.”

Sedekah yang tidak dihebahkan
Sedekah yang tidak dihebahkan adalah lebih afdal. Ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Hal seperti ini akan membuatkan keikhlasan itu sangat dekat dengan kita. Maka, kita akan jauh dari perasaan riak yang boleh merosakkan amalan sedekah. Tidak berguna jika niat bersedekah itu untuk mendapat pujian daripada pihak lain. Allah juga telah memaklumkan perkara ini dalam Surah Al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud, “Jika menampakkan sedekah kamu ini sangat baik, tetapi jika kamu merahsiakannya dan memberikan kepada orang fakir, maka itu lebih baik bagi kamu dan akan melepaskan kamu dari kejahatan sendiri, Allah menyedari setiap apa yang kamu kerjakan.”

Sedekah untuk menyucikan diri dan harta
Surah Al-Taubah ayat 103 membuktikan bahawa, “Ambil sedekah daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka, dan doakanlah mereka. Sesungguhnya doa kau itu menjadi ketenangan hati mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ayat ini mewakili dua perkara utama iaitu barang yang harus disedekahkan dan sebab untuk bersedekah. Sedekah bertujuan membersihkan jiwa dan harta yang dimiliki.”
Sedekah bukan sekadar memberi, amalan ini mempunyai banyak manfaat yang perlu kita ketahui. Manfaat sedekah bukan hanya dirasakan oleh penerima atau pihak yang kita beri sedekah, namun manfaat sedekah itu juga mampu kita rasakannya. Amalan sedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana kita mampu memberikan kesenangan dan kebahagiaan kepada pihak yang memerlukan. Lebih-lebih lagi kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan. Banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari amalan bersedekah ini. 

Manfaat sedekah
Antaranya ialah, mengasingkan sebahagian kecil daripada harta kita untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Sekiranya beban itu semakin ringan, kita turut merasai kebahagiannya. Manfaat bukan kerana wang dan harta yang dikeluarkan semasa bersedekah, Adakah anda memikirkan bahawa wang yang dikeluarkan itu mendatangkan manfaat? Sudah pasti bukan kerana wang yang dikeluarkan. Kita harus memikirkannya untuk jangka masa yang panjang. 

Sedekah mampu memadam dosa
Pada masa hadapan kita bakal diberikan kebaikan oleh Allah dan kita akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Selain itu, kita juga akan mengurangi dosa lama yang telah kita lakukan. Menurut Hadis Riwayat At-Tirmizi, “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” Senyum juga adalah sedekah. Hanya melemparkan senyuman sudah mendatangkan pahala buat kita. Tidak perlu mengeluarkan wang dan juga peluh. Jadi, mari kita bersedekah dan memadam dosa silam! 

Sedekah mampu menghindar dari kematian Suul Khatimah
Di samping itu, amalan bersedekah juga mampu menghindarkan kita dari kematian yang Suul Khatimah. Suul Khatimah bermaksud kematian dalam keadaan yang tidak beriman. Sebagai contoh, seorang yang sangat leka dengan urusan dunia sehingga tidak bersedia untuk mati. Selain itu, orang itu juga tidak bersedekah kerana terlalu cintakan hartanya lebih dari cintanya kepada Allah SWT. Terdapat banyak hadith yang berkata, “Sesungguhnya sedekah itu akan memadamkan amarah Allah dan menghindarkan diri dari kematian yang buruk.” 

Sedekah mampu menghindarkan bala
Menurut beberapa hadith yang lain, memulakan hari kita dengan bersedekah akan menghindarkan kejadian buruk dan tidak diingini. Jika kita tidak mempunyai harta, doa untuk kebahagiaan peminta sedekah juga dikira. Boleh kita katakan bahawa sedekah itu mampu menolak bencana dan bala. Kerana kita telah bersedekah pada hari itu, Allah akan melindungi kita sepanjang hari kita besedekah. Adakah kita mahu diberkati sepanjang hari? Sudah pasti! Sedekah adalah pembuka amalan yang suci sepanjang hari.

Sedekah mampu menyucikan jiwa
Sedekah juga mampu menyucikan jiwa dan harta kita. Hati orang yang bersedekah akan tenang dan aman. Selain itu jiwanya akan damai, bersih dan terhindar dari perasaan yang negatif. Semua hartanya juga akan diberkati Allah SWT. Sekiranya datang seorang peminta sedekah kepada kita, jangan dimarahi dan ditengking golongan itu. Jangan berkelakuan jahat dengannya walaupun sedikit. Kerana dosa menengking dan menyakiti hatinya adalah lebih besar daripada pahala jika bersedekah dengan separuh harta yang dimiliki. Jangan pula kita menolak orang yang mula-mula mendatangi kita, kerana kadang-kadang mereka itu bukan manusia. Mereka mungkin jin yang diamanahkan Allah untuk datang dan menguji kita dengan harta yang kita miliki. Jika kita menengking, kelak kita akan ditengking oleh Malaikat semasa hari Qiamat. 

Sedekah mampu memanjangkan umur
Percayakah anda bahawa sedekah akan memanjangkan umur kita? Kerana Allah telah melanjutkan usia kerana amalan sedekah yang sering kita lakukan itu. Allah sendiri telah mengatakan kepada Rasulullah bahawa sedekah memang akan memanjangkan umur dan juga mampu menunda kematian seseorang.

Ahad, Ogos 28, 2011

Salam Syawal 1432H / 2011 : ucapan dari Pengurusan KUG Melaka


Assalamualaikum...

Esok adalah hari terakhir kita berada di bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan keampunan.  Terasa masa yang berlalu begitu cepat dan kini bulan syawal pula yang akan mengambil giliran untuk melengkapi kalendar umat Islam.

Dalam kesibukan kita di akhir-akhir Ramadhan.., adakah kita dapat mempergunakan bulan ini dengan sebaik-baiknya?.  Adakah kita dapat memenuhi bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan ibadah?  Adakah di bulan puasa ini kita puasa dari segala yang lagha..? Dapatkah bulan ini mendidik kita menjadi umat Islam yang baik serta kembali kepada fitrahnya...?

Pihak pengurusan Kelab Usahawan GIATMARA Melaka ( KUG Melaka ) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Salam Kemerdekaan kepada anda yang membaca blog ini, juga kepada saudara mara, kenalan dan para pelawat yang pernah mengunjungi pejabat KUG Melaka.  Maafkan kekilafan yang berlaku sama ada disedari atau tidak.  

Hindarilah sikap tamak, hasad dengki dan lain-lain perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada semua.  Hidup kita berlandaskan ajaran Islam yang bersumberkan Al Quran serta hadith Nabi Muhammad S.A.W.  Setiap perlakuan wajib merujuk kepada hukum hakam Islam.  

Janganlah hanya semata-mata mahu medapatkan habuan di dunia, kita mencampuradukan yang halal dan yang haram (Halal + Haram = Halam) dalam sumber rezeki kita. Semoga tibanya bulan Syawal ini dapat memberi sinar harapan baru untuk kita sama-sama maju dalam sektor keusahawanan di bumi Malaysia yang bertuah ini...

Ahad, Ogos 21, 2011

Kesilapan usahawan di internet


Artikel dari Eruwan Gerry Norsen 
(Pakar Lelongan Online)

Ramai orang yang menceburi dunia perniagaan internet memasang angan-angan untuk mencapai kejayaan yang hebat di dalam model perniagaan internet yang mereka ceburi.  Dengan bilangan usahawan internet berjaya yang semakin bertambah di Malaysia, ia telah mencetuskan revolusi untuk semakin ramai rakyat Malaysia lain mengikuti jejak langkah usahawan-usahawan internet yang telah berjaya ini.

Malangnya, di sebalik sinar kejayaan yang dipancarkan oleh usahawan-usahawan internet yang telah berjaya itu, tidak ramai yang ingin berkongsi kesilapan-kesilapan yang mungkin telah mereka lakukan untuk tatapan dan pengajaran orang lain yang baru ingin bermula.

Oleh itu, di dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan anda Senarai Top 10 Kesilapan Usahawan Internet. Ianya adalah berdasarkan pengamatan saya terhadap usahawan-usahawan internet yang lain dan juga berdasarkan pengalaman saya sendiri selama 8 tahun berkecimpung di dalam dunia perniagaan internet. Senarai ini telah saya tulis berdasarkan sistem Countdown iaitu senarai akan dimulakan dari tempat ke-10 sehingga tempat pertama. Semoga ia menjadi panduan yang berguna untuk anda.

Mari kita mulakan…

#10 – Pengunjung Laman Web:
Menyangka bahawa pengunjung ke laman web anda akan tiba-tiba muncul setelah anda menyiapkan laman web anda. Ramai usahawan internet baru melakukan kesilapan ini. Anda harus faham bahawa laman web anda cuma akan dapat menerima pengunjung sekiranya anda telah melakukan promosi untuknya. Tanpa sebarang promosi, maka sudah pasti tidak akan ada orang yang menjumpai dan mengunjungi laman web anda.

#9 – Mudah Berputus Asa:
Salah satu lagi masalah besar untuk usahawan internet lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru adalah mereka mudah berputus asa. Ramai daripada golongan ini yang mahukan kejayaan dan keuntungan dengan pantas. Mereka ingin mendapatkan wang yang banyak dengan hanya menceburi dunia perniagaan internet selama beberapa bulan saja. Walaupun kejayaan boleh diperolehi dengan singkat di dalam dunia perniagaan internet, tetapi tidak semua orang akan memperolehi tempoh kejayaan yang sama. Ada yang lebih pantas dan ada yang lebih lama. Apa yang penting, anda perlu meneruskan usaha anda dan tidak berputus asa. Secara amnya, tempoh untuk mencapai keuntungan yang baik di dalam perniagaan internet adalah dalam masa lebih kurang 6 bulan ke setahun. Malah ada yang lebih daripada itu. Dengan itu, jangan mudah berputus asa, kejayaan pasti menanti anda!

#8 – Melakukan Perniagaan Seperti Hobi:
Anda tidak perlu mempunyai syarikat sendiri untuk menguruskan perniagaan internet anda seperti sebuah syarikat. Walaupun anda baru bermula, anda sudah boleh menguruskan perniagaan anda seperti sebuah syarikat. Anda boleh mengawal kewangan anda iaitu dari segi wang keluar dan wang masuk serta sebarang urusan lain dengan cara professional. Kesilapan ramai usahawan baru adalah dengan menguruskan perniagaan mereka dengan sambil lewa dan tidak serius. Akibatnya, kejayaan yang mereka perolehi adalah kecil dan keuntungan yang mereka perolehi juga adalah kecil. Jika anda mahukan kejayaan, anda perlu serius dalam menguruskan perniagaan anda dan bukan melayannya seperti sebuah hobi sahaja.

#7 – Pengurusan Masa Buruk:
Menguruskan masa dengan bijak adalah penting buat seseorang usahawan internet, lebih-lebih lagi kepada mereka yang menjalankan perniagaan internet dengan sepenuh masa atau full-time. Jika anda tidak bekerja maka tiadalah keuntungan yang boleh anda perolehi. Oleh itu, pengurusan masa yang baik adalah penting untuk kejayaan perniagaan anda. Elakkan daripada sikap suka bertangguh-tangguh di dalam melakukan urusan perniagaan anda. Jika anda suka bertangguh maka besar kemungkinan keuntungan yang anda perolehi di dalam perniagaan anda juga tidak seberapa.


#6 – Bekerja Sendiri:
Pada awal penglibatan anda di dalam dunia perniagaan internet, saya yakin anda akan lebih banyak melakukan aktiviti untuk perniagaan anda secara bersendirian. Andalah menjadi bos dan anda jugalah yang menjadi kuli untuk perniagaan anda. Keadaan ini adalah perkara yang biasa dilalui oleh hampir kesemua usahawan internet yang baru. Apa yang perlu anda pelajari adalah untuk memulakan outsourcing atau memberikan kerja-kerja anda kepada orang lain supaya anda mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan perkara-perkara yang lebih penting untuk perniagaan anda. Ia akan menjimatkan masa dan tenaga anda. Di antara perkara-perkara yang boleh anda outsource adalah rekaan grafik laman web, penulisan artikel, kajian produk, penghasilan produk digital dan sebagainya. Jika anda mahu mencapai kejayaan yang lebih hebat, anda perlu bijak mengagih-agihkan kerja anda kepada orang lain dan hanya melakukan aktiviti-aktiviti yang kritikal menurut kepakaran anda.

#5 – Berhenti Belajar:
Saya pernah menyentuh mengenai kesilapan ini tidak lama dahulu. Kita sebagai seorang usahawan internet perlu sentiasa belajar mengenai perkara-perkara baru yang boleh membantu di dalam perkembangan diri dan perniagaan kita. Dunia perniagaan internet sentiasa bergerak dengan pantas. Satu strategi promosi yang berkesan pada tahun lepas mungkin tidak lagi relevan pada tahun ini. Oleh itu, kita perlu sentiasa berusaha untuk mempelajari perkara-perkara baru di dalam bidang yang kita ceburi. Ini akan memudahkan kita untuk mengambil peluang yang mungkin belum lagi dapat dilihat oleh orang lain.

#4 – Tiada Networking:
Perniagaan internet membolehkan anda untuk menguruskan perniagaan anda hanya daripada rumah tanpa perlu berjumpa dengan sesiapa. Ini menyebabkan ramai usahawan internet yang baru mahupun yang lama tidak berminat untuk melakukan networking atau menjalinkan hubungan dengan usahawan internet lain yang sama-sama berada di dalam bidang mereka. Ini menyebabkan mereka kerugian dari segi pengetahuan dan sokongan daripada rakan usahawan internet yang lain. Jika kita aktif di dalam menjalinkan hubungan dengan usahawan internet lain maka ia akan memudahkan kita apabila kita memerlukan pendapat, nasihat dan bantuan daripada mereka pada masa hadapan. Dengan berbekalkan bantuan daripada rakan-rakan usahawan internet yang lain, maka ia akan lebih memudahkan kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

#3 – Tiada Pelan Perniagaan:
Hampir kesemua usahawan internet tersohor yang saya kenali mempunyai pelan perniagaan atau pelan tindakan untuk satu jangkamasa yang telah mereka tetapkan. Di dalam pelan ini mereka telah menggariskan perkara-perkara yang penting untuk perkembangan perniagaan mereka seperti masa pelancaran produk terkini, masa untuk melakukan kajian, masa untuk menganjurkan seminar dan sebagainya. Ada yang mempunyai pelan perniagaan untuk jangkamasa 5 Tahun yang akan datang! Semakin jelas pelan perniagaan yang anda hasilkan maka akan lebih jelaslah halatuju perniagaan anda kepada diri anda. Ini akan membolehkan anda menetapkan haluan anda untuk mencapai kejayaan di dalam masa yang telah anda tetapkan.

#2 – Tidak Membina Senarai Subscriber:
Kesilapan ini sering dilakukan oleh semua usahawan untuk hampir kesemua model perniagaan internet yang ada di dunia. Ramai yang masih takut atau tidak mahu memulakan senarai subscriber mereka sendiri. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang menjual di portal Lelong dan eBay. Mereka berpendapat bahawa mereka boleh berjaya tanpa menyimpan senarai subscriber. Sebenarnya jika mereka boleh memulakan senarai subscriber mereka sendiri, maka kejayaan akan boleh dicapai dengan lebih mudah berbanding tanpa sebarang senarai sendiri.

#1 – Tiada Mentor:
Perniagaan internet sama seperti bentuk-bentuk perniagaan lain yang memerlukan anda untuk mengikuti satu proses atau langkah untuk mencapai kejayaan. Cara paling pantas untuk melalui proses atau langkah tersebut adalah dengan mengikuti orang lain yang telah berjaya di dalam bidang yang anda inginkan. Mereka ini sering kita gelar sebagai mentor. Mereka yang telah berjaya mampu membimbing anda untuk turut sama mencapai kejayaan. Jika anda mampu untuk mendapatkan bantuan mentor untuk membimbing anda, maka cubalah berbuat demikian. Sekiranya anda tidak mampu untuk mendapatkan bantuan mentor untuk secara one-on-one, langkah terbaik seterusnya adalah dengan mendapatkan bahan-bahan rujukan yang telah dihasilkan oleh mentor tersebut. Mungkin anda boleh membaca newsletter, buku, produk digital atau sebarang bahan rujukan lain yang telah dihasilkan oleh mentor tersebut untuk membantu anda. Anda cuma perlu mengikuti jejak langkah usahawan tersebut untuk turut berjaya di dalam bidang perniagaan internet anda.

Itulah Senarai Top 10 Kesilapan Usahawan Internet. Saya berharap, perkongsian saya ini akan dapat membantu anda untuk terus berusaha dan terus berjaya di dalam model perniagaan internet yang anda ceburi sekarang.

Semoga kejayaan anda akan menjadi pemangkin kepada kejayaan orang lain yang turut ingin berjaya seperti anda.

Salam hormat dan salam kejayaan!

Ruangan Iklan

Ruangan Iklan
MininiagaProgram SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH Potato Spring, Spring Potato, Twist Potato, Tornado Potato, Spiral Potato, Kentang Spring - KentangSpring.com eBook Import Dari China Pakej Automatic eBay Powerseller
Related Posts with Thumbnails

Artikel busuk.org

Artikel ohblog